MELAKA 1 Nov. - Kandungan karya agung Melayu iaitu Sulalat
Al-Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah 'dibedah siasat' 10
cendekiawan sejarah bagi mencungkil isinya dan melihat kerelevanan karya
tersebut dengan tamadun Melayu terdahulu dan kini.
Kedua-dua karya berkenaan dikaji dan diteliti secara menyeluruh
dari pelbagai sudut dalam Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu yang
berlangsung di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Antara cendekiawan sejarah yang terlibat membentangkan kertas
kerja pada persidangan selama dua hari itu adalah, Dr. Muhammad Uthman
El.Muhammady dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr.
Shaharuddin Maarof (UM), Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Yusoff Hashim (KUIM),
Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abdul Hamid (UM) dan Prof. Datuk Dr. Md. Salleh
Yaapar (USM).
Turut serta tiga sarjana dari luar negara iaitu, Prof. Emeritus
Dr. E. Ulrich Kratz dari School of Oriental and African Studies, London, Prof.
Liang Liji (Universiti Beijing, China) dan Prof. Dr. Heddy Shri Ahimsa Putra
(Universitas Gadjah Mada, Indonesia).
Pengerusi Yayasan Karyawan, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid
berkata, persidangan berkenaan bertujuan meninjau dan mengkaji pandangan
masyarakat terhadap isi kandungan karya berkenaan yang meliputi aspek
kedaulatan raja, keadilan pemerintah, kebebasan dan kefahaman terhadap
institusi kerajaan Melayu.
"Sulalat al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah adalah karya agung
yang melambangkan kemegahan dan kebesaran tamadun Melayu yang terkandung di
dalamnya pelbagai nilai murni yang belum diketahui ramai.
"Persidangan yang membuka ruang pembentangan dan perbincangan
melalui kertas kerja berkaitan karya tersebut diharap dapat memberi ilmu dan
tauladan kepada bangsa Melayu yang sedang menghadapi krisis keyakinan dan
identiti diri," katanya ketika berucap pada majlis perasmian persidangan
itu.
Katanya, selain mengkaji fakta dan mitos dalam kedua-dua karya
agung itu, nilai-nilai murni yang diketengahkan oleh penulis turut dicungkil
dan didedahkan kepada umum untuk dinilai.
Kertas kerja yang dibentangkan dalam persidangan berkenaan
termasuklah Karya Agung Melayu Sulalat al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah:
Keunggulan Akal Budi Bangsa Melayu Sepanjang Zaman, Hang Tuah Wira Melayu
Sebagai Fenomena, Hang Tuah Lambang Keperwiraan Melayu Tradisional dan Hang
Tuah di Dalam Hikayat Hang Tuah danSejarah Melayu.
Kesimpulan persidangan yang mengupas kandungan kedua-dua karya
agung tersebut akan dibentangkan esok oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah
A. Karim dalam sesi forum bertajuk Kerelevanan Citra dan Akal Budi Melayu dalam
Sulalat al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah.
Sumber :
http://202.170.56.249/index.php/ms/papercutting/9163-dua-karya-agung-melayu-dibedah-siasat.html
(Utusan Malaysia, 2 November 2011, ms 29, Dalam Negeri)
No comments:
Post a Comment