Epik
La Galigo dimulakan dengan penciptaan dunia. Ketika dunia ini kosong (merujuk
kepada Sulawesi Selatan), Raja Di Langit, La Patiganna, mengadakan suatu perbincangan
keluarga daripada beberapa kerajaan termasuklah Senrijawa dan Peretiwi dari
alam ghaib. Dalam mesyuarat ini, mereka sepakat untuk melantik anak lelakinya
yang tertua, La Toge’ langi’ menjadi Raja Alekawa (Bumi) dan memakai gelaran
Batara Guru. La Toge’ langi’ kemudiannya berkahwin dengan sepupunya, We
Nyili’timo yang merupakan anak kepada Guru ri Selleng, Raja alam ghaib. Namun
begitu, sebelum Batara Guru diisytiharkan sebagai raja di bumi, beliau perlu
melalui suatu tempoh ujian selama 40 hari 40 malam. Tidak lama kemudiannya,
beliau turun ke bumi, dikatakan turun di Ussu’, sebuah daerah di Luwu’ dan
terletak di Teluk Bone. Pengganti Batara Guru iaitu La Tiuleng, anak kepada
Batara Guru kemudiannya menjadi pengganti beliau dengan gelaran Batara Lattu’.
Beliau kemudiannya memperoleh dua orang anak kembar, iaitu Lawe atau La
Ma’dukelleng atau Sawerigading (Putera Ware’) dan kembarnya, seorang anak
perempuan bernama We Tenriyabeng. Kedua-dua kembar itu tidak membesar bersama.
Sawerigading pada mulanya menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan
darah dengannya, ingin berkahwin dengannya. Tetapi disebabkan ini adalah suatu
larangan, beliau meninggalkan Luwu’ dengan menuju ke Cina dan bersumpah tidak
akan kembali. Dalam perjalanannya ke Cina, beliau diserang dan telah berjaya
mengalahkan beberapa pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio, iaitu Setia
Bonga. Di Cina, beliau mengahwini Datu Cina, iaitu We Cudai.
Sawerigading
dalam La Galigo digambarkan sebagai seorang kapten kapal yang gagah dan beliau
pernah melewati beberapa tempat seperti Taranate (Ternate di Maluku), Gima
(Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa Ritengnga (mungkin Jawa Timur dan
Tengah), Sunra Rilau’ dan Sunra Riaja (mungkin Sunda Timur dan Sunda Barat) dan
Melaka. Beliau juga dikhabarkan oleh masyarakat Bugis, melawat syurga dan alam
ghaib. Pengikut-pengikutnya terdiri daripada saudara-mara dari serata rantau
dan rombongannya sering didahului oleh kehadiran tetamu yang luar biasa seperti
orang bunian, orang berkulit hitam dan orang berambut di dada. Menjadi manusia
atau penghuni Dunia Tengah, adalah saat yang paling menyulitkan dalam riwayat
hidup Batara Guru. Hal ini membawa erti bahawa beliau kehilangan hak-hak
istimewanya sebagai seorang dewa, sebagai putera sulung dan pangeran mahkota
dari Sang Penentu Nasib yang menguasai seisi alam. Namun begitu, ketahanan
Batara Guru menjalani nasibnya sebagai manusia pertama di bumi yang kosong,
akhirnya memberi pulangan yang sangat indah sehingga hasratnya untuk kembali ke
langit dilupakan.
Hal
ini juga bermakna, hasratnya untuk kembali menjadi dewa dan menikmati
keistimewaan yang pernah menjadi miliknya dilupakan sama sekali. Pada akhir
kisah panjang ini, Batara Guru kembali juga ke langit dan menggantikan
kedudukan Patotoqe’ sebagai penguasa tertinggi. Namun begitu, hal ini terjadi
setelah empat generasi keturunan Batara Guru sudah menjelajah ke seluruh dunia,
Bumi dipenuhi dengan manusia dan keturunan para dewa sudah berpindah naik ke kayangan
dan ada yang kekal di Bumi. Episod akhir Sureq Galigo memperlihatkan
perkahwinan Dunia Atas dan Dunia Bawah untuk melahirkan penghuni Dunia Tengah,
diwarnai dengan penyatuan keluarga besar anak cucu Batara Guru. Mereka yang
tersebar sampai ke Cina, yang menetap di Langit dan Dunia Bawah Tanah,
kesemuanya datang berkumpul. Sawerigading yang berjaya memenuhi Bumi dengan
kelahiran anak cucunya tidak lagi dikutuk jika kembali ke tanah asalnya.
Patotoqe’ kemudiannya menutup pintu langit dan tidak lagi dibuka untuk manusia.
Dengan ini, terputuslah hubungan antara langit dan dunia. Dengan selesainya
misi menyebarkan manusia dan memenuhi dunia dengan kehidupan, maka dianggap
lengkaplah kisah Sureq Galigo.
No comments:
Post a Comment